Artikel

Permohonan DITO, Lesen Pengendali Insurans Dan Takaful Digital Dibuka Sehingga 31 Disember 2026 – BNM 

Bank Negara Malaysia (BNM) kini melihat permintaan yang mengalakkan pada permohonan lesen Penanggung Insurans dan Pengendali Takaful Digital (DITO) sejak pembukaan permohonan tersebut pada 2 Januari 2025 lalu.

Persekitaran ini secara langsung akan membantu pasaran negara, melengkapkan ekosistem produk perlindungan di Malaysia dengan merapatkan jurang penawaran insurans yang masih rendah ketika ini – khususnya tawaran buat masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan.

BNM melihat kurang 50% daripada rakyat Malaysia yang mempunyai perlindungan insurans hayat atau takaful keluarga. Maka dengan perluasan akses penawaran DITO ini, ia secara langsung akan membantu rakyat negara memiliki lebih banyak pilihan perlindungan yang berpatutan serta menghasilkan tawaran produk yang lebih khusus dan pelbagai selain tawaran perkhidmatan insurans dan takaful tradisional di pasaran semasa.

Untuk makluman, permohonan DITO ini kekal terbuka sehingga 31 Disember 2026 kelak. Berdasarkan tempoh itu, sesi perbincangan akan dilaksanakan bersama permohon  dan akan diumumkan sekiranya berjaya ketika tempoh tersebut masih berlangsung ataupun selepas tempoh tersebut tamat.