Artikel

BIMB Mobile Bolehkan Pengguna Tempah Tukar Duit Raya – Bermula 10 Mac Sehingga 14 Mac Ini

Selain pergi ke cawangan ATM mahupun memohon di kaunter bank fizikal – Bank Islam kini meluaskan lagi akses buat pengguna negara untuk menukar duit raya sempena Aidilfitri 2025 kelak, iaitu membolehkan pengguna menempah pertukaran duit raya menerusi aplikasi BIMB Mobile bermula 10 Mac sehingga 14 Mac 2025 ini. 

Berdasarkan makluman BIMB, akses tersebut akan tersedia pada 10 Mac ini – di mana pengguna boleh mengklik pada paparan Jom Tukar Duit Raya di aplikasi BIMB Mobile dan perlu lengkapkan butiran permohonan pada borang tempahan. Setelah itu, cawangan Bank Islam yang terlibat akan meneliti permohonan pertukaran duit raya dan akan memaklumkan kepada pengguna menerusi emel akan ketersediaan wang tunai yang dimohon.

Setelah meraih pengesahan emel daripada cawangan bank yang dipilih pengguna, maka pengguna harus mengambil tempahan duit raya tersebut dalam tempoh 3 hari. Sekiranya melepasi tempoh tersebut, maka kutipan duit raya tidak lagi tersedia buat pengguna.

Melalui akses ini, ia dilihat akan meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan perbankan dalam menguruskan sesi pertukaran duit raya pada tahun 2025. Langkah ini turut memberi penjimatan berganda buat pengguna dari aspek masa dan tenaga.