Tidak lama lagi, sebuah aplikasi yang bertindak memantau aliran jualan minyak masak bersubsidi akan diperkenalkan. Menerusi medium tersebut, ia secara terus dapat membantu negara menjejaki aktiviti penyeludupan dan ketirisan yang berlaku pada pasaran semasa.
Setakat ini menurut notis di Parlimen, aplikasi tersebut sedang digunakan secara rintis sebagai sebahagian daripada Sistem Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS). Menerusi aplikasi tersebut, data pembeli akan direkodkan dan daripada pengumpulan data itu akan dinilai sama ada kumpulan ini menepati golongan bersasar atau sebaliknya.
Dengan akses tersebut, ia akan membolehkan pegawai penguatkuasa untuk ambil tindakan segera ke atas kumpulan yang tidak berkelayakan yang bertindak membeli minyak masak bersubsidi.
Buat pengetahuan umum, sejumlah 60,000 metrik tan minyak masak subsidi telah disediakan di pasaran negara pada setiap bulan. Namun masih terdapat pihak mengambil kesempatan akan kegunaan dan hak keperluan tersebut di pasaran negara.