Artikel

Malaysia Rugi RM1.57 Bilion – Jadi Negara Tertinggi Di Asia Berdepan Isu Kebocoran Data Peribadi

Disebalik pemacuan sokongan teknologi pada pasaran semasa, Malaysia turut tidak terkecuali dari berdepan risiko sekuriti yang tinggi. Tahun 2024 mendedahkan, Malaysia menjadi antara negara yang merekodkan kadar kebocoran data peribadi tertinggi dalam kalangan pasaran utama Asia. Bahkan aktiviti penipuan menerusi panggilan palsu di Malaysia turut melonjak, capai 82.81% pada tahun 2024.

Mengikut data tahunan di bawah Whoscall ini, hasil semakan pengguna menerusi ID Security Whoscall mendapati 72.5% pengguna negara berdepan isu kebocoran data peribadi. Kebocoran data itu merangkumi pendedahan nama pengguna (89%) diikuti alamat dan maklumat emel.

Namun situasi ini berbeza dengan negara Asia yang lain seperti Taiwan, Thailand, Jepun dan Filipina yang memperlihatkan maklumat seperti alamat dan emel menjadi data peribadi yang paling tinggi berdepan isu kebocoran.

Keadaan ini sekaligus menjadikan aktiviti penipuan melalui penyamaran dilihat akan lebih menyakinkan dan membawa risiko kepada pengguna berdasarkan kebocoran maklumat yang berlaku. Sepanjang 2024, Malaysia berdepan peningkatan jumlah panggilan penipuan dengan membawa kerugian kewangan secara menyeluruh mencapai RM1.57 bilion.

Tidak sekadar panggilan penipuan tetapi aktiviti penipuan melalui saluran mesej (SMS) turut memaparkan peningkatan 19.97%.