Artikel

PROTON Rekod Penghantaran 1,000 Unit e.MAS 7

Lebih ramai rakyat Malaysia kini dilihat mula terarah menggunakan kenderaan elektrik (EV) di pasaran negara. Perihal itu menurut PRO-NET, anak syarikat Proton didasari atas permintaan yang lebih tinggi pada unit Proton e.MAS 7 yang ketika ini melebihi 4,500 tempahan dengan penghantaran 1000 unit telahpun direkodkan.

Berlandaskan permintaan itu, PRO-NET turut dapati e.MAS 7 ketika ini telah menguasai 25% pasaran EV tempatan di Malaysia. Menurut pengamatan mereka, sebanyak 58% pembeli bersetuju e.MAS 7 sebagai pilihan yang berbaloi dengan harganya, manakala 51% menghargai ruangnya yang luas dan kesesuaiannya untuk kegunaan harian. Selain itu, 38% pula tertarik dengan ciri keselamatan canggih, termasuk ADAS Tahap 2 dan keupayaan pemanduan semi-autonomi, sementara 39% menyatakan bahawa Peta Pengecasan Langsung menjadi faktor utama dalam proses membuat keputusan mereka.

Menerusi prestasi ini, PRO-NET optimis jumlah permintaan e.MAS 7 akan meningkat secara berkala khususnya pada rancangan mereka untuk melanjutkan penawaran pakej khas kepada pengguna awal kelak. Berdasarkan sasaran itu, dijangka jumlah tempahan berpotensi meningkat sehingga 6,000 tempahan unit kelak.