Berikutan terdapat pihak yang gemar menggunakan parkir pada tempoh yang lama sehingga 12 jam, situasi ini telah menyebabkan berlakunya kekurangan ruang parkir untuk pengguna lain – lebih membimbangkan, situasi ini turut menyebabkan berlakunya isu kesesakan jalanraya susulan pemandu mencari ruang parkir. Menyedari isu tersebut, Pulau Pinang bermula hari ini (3 Mac) menguatkuasakan kenaikan kadar caj parkir sebanyak 50% ke atas pengguna.
Kadar baharu ini menurut Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), memperlihatkan caj parkir akan meningkat daripada RM0.40 kepada RM0.60 bagi setiap 30 minit, diikuti kadar harian pula dinaikkan kepada RM8 berbanding RM6 sebelum ini.
Sementara kadar pas bulanan pula dijelaskan masih kekal pada harga yang sama iaitu sekitar RM150.
Tindakan ini secara langsung akan membantu majlis perbandaran menangani isu kekangan tempat letak kenderaan khususnya di kawasan yang sibuk. Selain pelarasan kadar parkir baru ini, MBPP turut merancang mengenakan had masa parkir dan melaksanakan sistem parkir yang lebih tersusun.
Buat pengetahuan umum, kali terakhir pelarasan kadar caj parkir ini dilaksanakan adalah pada 2014 dengan pengenaan RM0.40 bagi setiap 30 minit berbanding RM0.30.