Pilihan pembayaran secara tanpa tunai (nirtunai) kalangan pelajar dan warga pendidik kini dilihat semakin meningkat. Di bawah inisiatif PayNet Digital Campus 3.0 didapati sekitar 24 juta transaksi nirtunai merentasi penglibatan 30 institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia telah direkodkan.
Jumlah rekod ini secara jelas lebih tinggi berbanding edisi kempen sebelumnya, di mana ia melibatkan 25 universiti awam (UA) dan 5 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Berdasarkan penyertaan itu, UITM memperlihatkan pembayaran nirtunai yang tinggi bagi cawangan Perak, Sabah dan Johor. Sementara Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) pula mengungguli kedudukan pertama pada kategori IPTS dalam penerapan saluran nirtunai diikuti Asia Pacific University of Tech & Innovation (APU) pula di kedudukan kedua.
Selain itu, beberapa IPTA juga turut meraih pengiktirafan khas susulan jumlah pembayaran digital di kampus mereka telah mencapai lebih 1 juta transaksi pada tempoh kempen, ia melibatkan Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Perkembangan ini secara menyeluruh adalah sejajar dengan matlamat Malaysia untuk perkasakan penggunaan e-pembayaran dalam kalangan pengguna dan meningkatkan penerapan akses digital bersama kumpulan peniaga secara berkala di pasaran hadapan.