Artikel

Pos Malaysia Rugi Besar, RM202 Juta Pada 2024

Pos Malaysia terus memaparkan kerugian pada prestasi tahunan- untuk tahun 2024, operasi berdepan kerugian yang lebih besar dengan rekod RM202.7 juta, berbanding 2023 dengan angka kerugian RM157 juta.

Keadaan ini menurut operasi, tidak sekadar didorong tekanan kos pasaran tetapi penyusutan permintaan pada perkhidmatan mel tradisional turut meningkatkan lagi tekanan persaingan Pos Malaysia pada pasaran kurier. Di mana pengguna kini lebih memilih saluran komunikasi digital berbanding penghantaran mel.

Sementara segmen bungkusan pula kekal menunjukkan permintaan positif susulan permintaan dalam e-dagang terus positif pada pasaran semasa.

Melihat pada kesan penyusutan dalam khidmat tradisional – Pos Malaysia optimis untuk mempelbagaikan lagi portfolio perniagaan mereka untuk mengatasi kekangan tersebut. Antaranya meluaskan jejak khidmat peruncitan di pasaran Malaysia melalui Pos Shop. Setakat ini terdapat 50 cawangan telah tersedia untuk kemudahan pengguna. Selain fokus itu, Pos Malaysia turut akan menambahbaik pelarasan kos dan sumber operasi bagi melandaikan tekanan kerugian pada tahun ini.