Sepertimana yang dirangka pada Oktober 2024, Thailand kini memberi gambaran akan mengenakan caj 300 baht ke atas kemasukan pelancong asing di negara mereka sekitar akhir 2025 ini.
Langkah itu dijangka dapat direalisasikan sekiranya pelaksanaan cukai pelancongan ini diluluskan pada Mac kelak. Mengikut laporan BangkokPost, ketika ini tiada perincian lanjut berhubung tindakan itu namun didapati kementerian pelancongan Thailand dalam usaha mengintegrasikan caj ini pada sistem Kad Ketibaan Digital yang akan dilaksanakan pada 1 Mei kelak.
Caj ini untuk makluman akan dikenakan ke atas semua pelancong asing pada mana-mana perkhidmatan kemasukan ke Thailand – sama ada melalui laluan darat, air mahupun udara. Jumlah caj ini difahamkan meliputi perlindungan insurans premium yang memiliki had tempoh selama 30 hari hingga 60 hari buat pelancong asing.
Berlandaskan perincian sebelum ini, caj 300 baht akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa awal ke atas pelancong asing yang melalui laluan udara iaitu khidmat penerbangan dan selanjutnya baru dikenakan ke atas pelancong asing laluan darat dan air.