Artikel

AirAsia, Malaysia Airlines Tawar Harga Tiket Lebih Rendah Ke Sabah, Sarawak – Sempena Hari Raya

Menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, AirAsia dan Malaysia Airlines kini mengumumkan penawaran harga tiket sehala di bawah RM400 untuk penerbangan dari Semenanjung ke Sarawak, Sabah dan Labuan buat kemudahan pengguna.

Penawaran ini untuk makluman melibatkan tempoh 28 Mac 2025 hingga 5 April 2025 – sebagai perincian pengguna boleh menempah tambang tetap pada RM328 sehala bagi penerbangan antara Kuala Lumpur dan Kuching, Sibu, Bintulu, atau Miri, serta Johor Bahru dan Kuching serta Sibu. Sementara itu, penerbangan antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, Sandakan, atau Tawau, serta antara Johor Bahru dan Kota Kinabalu, boleh didapati dengan tambang tetap pada RM388 sehala.

Tempahan ini dimaklumkan boleh dibuat bermula hari ini sehingga 5 April 2025 di laman airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE.

Langkah yang sama turut dimaklumkan oleh Malaysia Airlines – dengan menawarkan harga tambang khas sempena Hari Raya ini. Di mana pihaknya akan menambah sehingga 200 kekerapan perjalanan untuk memastikan permintaan pengguna dipenuhi. Tawaran ini untuk makluman akan melibatkan penawaran harga tiket sehala ke Sabah serendah RM389 manakala ke Sarawak RM319.

Para pengguna boleh menikmati penawaran tersebut dengan menempah tiket perjalanan bermula hari ini sehingga 8 April kelak bagi tempoh perjalanan pada tarikh 26 Mac sehingga 9 April.