Artikel

Untung Shein Merosot – Jatuh 40% Bagi Prestasi Tahun 2024

Shein, jenama yang mengfokuskan produk fesyen dan gaya hidup di pasaran global kini berdepan ketidakstabilan perolehan pada pasaran semasa. Tahun 2024 memperlihatkan Shein berdepan kemerosotan pada untung bersih dengan meraih sekadar $1 bilion, berbanding sasaran awal $4.8 bilion. Di mana untung bersih syarikat telah merudum sekitar 40%.

Kemerosotan ini mengikut laporan tidak sekadar didorong kesan ketidaktentuan aliran jualan tetapi terdapat beberapa faktor turut menghakis margin keuntungan mereka. Antaranya berdepan isu dalam perolehan bekalan bersama pesaing lain seperti Zara dan H&M. Situasi ini dilihat turut akan dibebani dengan kejutan tarif AS yang berpotensi memberi ancaman kepada penawaran harga mampu-milik mereka bersama pengguna.

Tidak sekadar itu penurunan permintaan turut didasari akan perubahan tabiat pengguna – yang ketika ini cenderung mengutamakan kelestarian produk di samping etika penghasilan produk yang lebih bertanggungjawab tanpa menindaskan sebarang hak pekerja.

Melihat pada dinamik itu, Shein dijangka akan terus berdepan situasi mencabar susulan matlamat operasi yang ketika ini merancang untuk tindakan tawaran awam permulaan (IPO) di bursa London. Sekiranya tekanan terus meluas, persekitaran ini akan membawa kepada pengurangan penilaian Shein yang lebih rendah, yang ketika ini sekitar $30 bilion.