Artikel

Gaji, Hak Pekerja Rendah – Jadi Faktor Utama 39% Pekerja Di Malaysia Letak Jawatan

Seiring dengan perkembangan ekonomi semasa pada pasaran kerja di Malaysia diikuti tekanan kos yang kian meningkat, didapati sekitar 16.6% pencari kerja di negara mengakui lebih mengutamakan tawaran gaji bersama hak pekerja yang setimpal pada permohonan jawatan baharu.

Tumpuan itu tidak sekadar menambahbaik kadar pendapatan di masa hadapan tetapi turut meluaskan lagi kapasiti simpanan mereka. Perihal ini adalah tindak balas sebilangan kumpulan pekerja di mana 38.9% pekerja di Malaysia akui antara faktor utama mereka meletak jawatan adalah disebabkan perolehan pampasan dan hak pekerja yang rendah.

Tinjauan di bawah Jobstreet by SEEK Malaysia ini secara jelas menunjukkan tahap kesedaran pekerja berhubung hak pekerjaan semakin meluas dan langkah ini sekaligus akan membantu meningkatkan lagi taraf landskap ekonomi tempatan.

Tidak sekadar gaji dan faedah pekerja, faktor keseimbangan kerja seperti cuti tambahan, pampasan kerja lebih masa yang berpatutan serta waktu bekerja yang tetap turut menjadi tumpuan apabila 14.4% pencari kerja mengutamakan kelebihan ini.

Selain itu, 13.9% pencari kerja pula turut mengutamakan pelan pembangunan kerjaya yang disediakan majikan ke atas kumpulan pekerja. Perihal ini penting, ia tidak sekadar meningkatkan tahap produktiviti kerja tetapi turut membantu kumpulan pekerja meraih kemahiran baharu dan menambahbaik pengetahuan mereka selari dengan permintaan ekonomi semasa.

Maka melihat pada permintaan ini, Jobstreet by SEEK kini telah melancarkan ciri Talent Attraction Lab yang bertindak membantu majikan untuk lebih memahami akan keperluan bakat di pasaran kerja Malaysia.

Platform ini direka untuk membekalkan majikan dengan pandangan mendalam tentang pasaran pekerjaan Malaysia, membolehkan mereka menyusun strategi pengambilan yang lebih berkesan bagi menarik serta mengekalkan bakat terbaik. Bersama pengenalan SEEK Pass, ia membolehkan pencari kerja mengesahkan kredibiliti pekerjaan mereka dengan selamat, membantu mereka menonjol di pasaran sambil membolehkan majikan menyenarai pendek calon serta mempercepatkan proses pengambilan pekerja dalam platform Jobstreet.