Tahun 2024 memaparkan prestasi mata wang ringgit meraih penambahan nilai secara menyeluruh sebanyak 2.7% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Data Bank Negara Malaysia (BNM) ini, menjelaskan situasi itu didorong berikutan jangkaan pasaran kewangan lebih seimbang, membawa kepada sasaran pengurangan kadar dasar AS yang lebih kecil pada 2025, diikuti penurunan risiko yang lebih tinggi ke atas pelabur susulan ketidakpastian dasar AS di bawah pimpinan baharu.
Malah pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2024 yang lebih baik dengan perkembangan 5.1% turut meningkatkan lagi keyakinan ke atas ringgit. Prestasi ini diimbangi hasil permintaan dalam negeri dan aliran eksport yang baik.
Berdasarkan dinamik pasaran itu, ringgit juga memaparkan penambahan nilai yang lebih baik berbanding sebilangan mata wang utama lain. Antaranya seperti dolar Singapura, won Korea dan yen Jepun. Selain ringgit Malaysia, prestasi mata wang dolar Hong Kong dan baht Thailand juga turut perlihat peningkatan nilai pada tempoh yang sama, sementara mata wang serantau lain pula alami penurunan nilai.
Untuk tahun 2025 pula, prestasi ringgit dijangka kekal seimbang hasil sokongan prospek makroekonomi Malaysia yang positif dan pelaksanaan pembaharuan struktur dasar ekonomi semasa juga dijangka akan terus membantu kedudukan ringgit pada tahun ini. Namun BNM akui risiko faktor luaran akan terus mempengaruhi aliran ringgit secara berkala dan akan terus memantau situasi dengan memastikan pasaran pertukaran domestik negara kekal teratur.