Artikel

Pulau Pinang Akan Kuat Kuasa Tiada Beg Plastik Setiap Hari – Mulai September Ini

Pulau Pinang akan memulakan langkah kempen tiada beg plastik pada penggunaan setiap hari buat penduduk negeri mereka bermula 1 Mac ini. Pelaksanaan yang akan berlangsung selama 6 bulan sehingga 31 Ogos 2025 ini dijangka adalah sebagai persediaan awal untuk semua pihak.

Pada tempoh ini, pelbagai usaha didikan akan diterapkan kalangan pengguna negeri tersebut antaranya mengagihkan beg guna semula secara percuma bagi membantu pengguna untuk beralih ke amalan yang lebih lestari kelak. Langkah ini tidak sekadar membiasakan pengguna bahkan ke atas pengendali perniagaan.

Menurut Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, penguatkuasaan penuh peraturan baharu ini akan dilaksanakan sekitar 1 September kelak. 

Adanya peraturan baharu itu, difahamkan ia akan diwajibkan ke atas pasar raya besar, gedung serbaneka, kedai serbaneka, pasar raya, restoran makanan segera, kedai serbaneka di stesen minyak, rangkaian kedai, farmasi dan premis perniagan. Sementara kumpulan penjaja dan peniaga kecil pula dikecualikan daripada peraturan tersebut.

Secara menyeluruh, ini bukanlah kali pertama usaha Pulau Pinang untuk menamatkan penggunaan beg plastik pada sektor perkhidmatan. Sebelum ini negeri telahpun menguatkuasakan tiada beg plastik pada hari Isnin hingga Rabu manakala Khamis hingga Jumaat pula pengenaan caj RM1 dilaksanakan.

Berdasarkan usaha itu, ternyata sejak 2009 negeri telah berjaya meraih RM8 juta hasil pelaksanaan tersebut. Maka dengan lanjutan tiada penggunaan beg plastik ini dilihat akan membantu negeri seiring dengan matlamat negara.