Artikel

PayNet, FAMA Lancar Mesin Layan Diri Barangan Runcit – Perluas Akses Asas Kepada Pengguna

Penawaran produk di bawah mesin layan diri kini semakin meluas pada pasaran Malaysia di mana tidak hanya terhad ke atas permintaan produk makanan ringan semata – terbaharu, hasil usahasama Payment Network Malaysia (PayNet) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kini rakyat negara boleh meraih barangan runcit menerusi mesin layan diri iaitu Agrobazaar Mobile.

Inisiatif peruncitan digital ini secara langsung meningkatkan lagi jejak penggunaan pembayaran secara nirtunai menerusi DuitNow QR. Menurut PayNet, akses ini tidak sekadar memberi kelebihan kepada peranan mereka tetapi turut membantu FAMA memahami tabiat pengguna melalui aliran perbelanjaan mereka di pasaran semasa. Adanya pemahaman ini, ia sekaligus akan membantu FAMA meneroka potensi baharu di masa hadapan.

Malah kemudahan ini tidak sekadar mengurangkan kos operasi tetapi turut membantu usahawan sektor pertanian mempelbagaikan lagi saluran penjualan barangan runcit di pasaran negara. Khususnya barangan segar, di mana medium ini akan membolehkan para pengguna meraih akses tersebut di mana jua pada bila-bila masa.

Pengenalan ini untuk makluman masih di peringkat awal dan sekiranya ia berjaya – FAMA merancang untuk meluaskan akses tersebut di lokasi strategik terutamanya di kawasan yang miliki akses terhad kepada hasil segar. Maka ke arah tujuan itu, pembekalan dan pengurusan mesin layan diri akan dilaksanakan secara berkala oleh bahagian Agrobazaar untuk memastikan kualiti perkhidmatan kekal di tahap yang baik dan selamat untuk pengguna.