Artikel

Malaysia Kekal Tangga Ke-57 – Pada Senarai Indeks Persepsi Rasuah Dunia

Usaha melandaikan aktiviti rasuah di Malaysia, dilihat masih memerlukan tindakan yang lebih agresif lagi. Ini kerana berdasarkan data terbaharu Indeks Persepsi Rasuah, kedudukan negara pada isu tersebut kekal di tangga ke-57 pada senarai global.

Prestasi ini menjelaskan masih terdapat kelompongan yang perlu diperbaiki pentadbiran Malaysia, untuk meraih kemajuan dengan mengurangkan isu rasuah. Perihal ini seiring dengan gagasan Malaysia yang ingin menjadi 25 negara teratas memiliki isu rasuah yang rendah menjelang tahun 2033 kelak.

Menurut Transparency International Malaysia (TI Malaysia), negara perlu meraih sekurangnya skor 68 sehingga 70 mata untuk merealisasikan kedudukan tersebut berbanding skor semasa sekitar 50 mata.

Biarpun kerajaan semasa dilihat secara berterusan memberi tumpuan dalam pelaksanaan tata kelola yang lebih baik, diikuti menegaskan kepentingan ketelusan dalam institusi negara – namun kesan tindakan semakan semula hukuman penjara serta pengenaan denda dalam kes berprofil tinggi dilihat telah mewujudkan persepsi yang kurang tepat, dengan tanggapan campur tangan politik serta badan kehakiman.

Malah menyentuh soal isu ketelusan, aktiviti salah guna kuasa serta rasuah kalangan penjawat awam terus berlaku di pasaran Malaysia – situasi ini secara langsung membawa kepada cerminan akan langkah menangani rasuah di Malaysia masih kekal perlahan meskipun gerakan tersebut telah mula dilaksanakan.

Maka untuk menepis persepsi sedemikian, TI Malaysia menggesa kerajaan untuk mempercepatkan langkah pembaharuan institusi negara dengan mengukuhkan pentadbiran bersama akta sokongan. Langkah itu sekaligus akan membantu negara meraih tahap ketelusan yang lebih baik di pasaran hadapan kelak.