Kesan kenaikan inflasi kos perubatan yang mencapai 15% pada tahun 2024 secara langsung telah membawa kepada lonjakan kos pada segmen penjagaan kesihatan di Malaysia. Maka tidak hairanlah paras keuntungan syarikat insurans dan penyedia takaful (ITO) secara puratanya berupaya mencapai RM4.4 bilion setahun.
Pendedahan data ketika sidang Parlimen minggu lalu ini, jelas menunjukkan tekanan kos yang lebih tinggi perlu didepani pengguna khususnya pemegang polisi pada komitmen bulanan pelindungan produk kesihatan mereka.
Menyedari perihal itu, Bank Negara Malaysia (BNM) pada akhir tahun lalu telah menyediakan beberapa langkah sementara untuk melindungi hak pengguna. Berdasarkan usaha itu, Timbalan Kewangan Amir Hamzah memberi jaminan kadar premium insurans tidak akan meningkat melebihi 10% ke atas 80% pemegang polisi di Malaysia.
Sementara pemegang polisi yang berusia 60 tahun ke atas pula akan dikecualikan daripada pelarasan naik kadar premium polisi tersebut selama 1 tahun.
Secara menyeluruh semua ITO harus menyediakan pilihan produk insurans perubatan alternatif yang bersesuaian dengan kemampuan pemegang polisi. Penawaran ini dimaklumkan wajar tersedia selewatnya akhir 2025.
Melihat pada jaminan tersebut, diharap lebih ramai pemegang polisi insurans meraih pilihan penawaran produk yang memadai tanpa membebankan komitmen mereka di pasaran hadapan kelak.