Tahun 2025 akan memperlihatkan sejumlah 1,856 buah syarikat kerajaan akan diaudit menerusi sistem yang menerapkan kecerdasan buatan (AI) iaitu e-SelfAudit.
Sistem ini menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan dibangunkan di bawah Projek Pendigitalan Jabatan Audit Negara (JAN) – yang mana sistem ini akan membolehkan proses pengauditan dapat dilaksana secara cekap dan sistematik ke atas kumpulan syarikat kerajaan. Syarikat kerajaan ini terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berhad mengikut jaminan (CLBG).
Adanya sokongan ini, ia akan membantu agenda semak dan imbang yang telah diterapkan oleh pentadbiran negara pada aspek ketelusan operasi syarikat. Buat pengetahuan umum, pelaksanaan sistem ini telah diberi jaminan tidak melibatkan sebarang kos tambahan dan ia adalah selaras dengan pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) yang telahpun berkuat kuasa pada 1 November lalu.
Menerusi pindaan itu, ia memberi kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk menjalankan proses pengauditan ke atas seluruh badan lain di negara termasuklah syarikat kerajaan persekutuan mahupun negeri.