Artikel

Ada Apa Dengan Dana Mahsul – Mengapa AS Mahu Menubuhkan ‘Tabung Pelaburan’ Ini?

Selain tumpuan tarif import, Amerika Syarikat (AS) tidak lama lagi akan memiliki Dana Kekayaan Berdaulat, yang bertujuan mengukuhkan lagi kedudukan AS pada segmen pelaburan di pasaran mendatang. Perihal ini telah dicapai oleh Presiden Donald Trump setelah menandatangani persetujuan dengan mengarahkan Jabatan Perbendaharaan untuk menubuhkan platform ‘tabung’ tersebut dalam tempoh setahun. 

Apa Itu Dana Mahsul? 

Dana Kekayaan Berdaulat atau Dana Mahsul (SWF) ini untuk makluman adalah medium dana pelaburan yang dimiliki oleh sesebuah kerajaan. Di mana dana ini akan digunapakai pada tindakan pelaburan dalam kewangan mahupun aset nyata seperti bon, saham, hartanah serta pelaburan alternatif melibatkan dana ekuiti persendirian atau dana lindung nilai. 

Menerusi peranan itu, dana ini tidak sekadar dilaburkan pada peringkat tempatan dan global tetapi turut bertindak selaku medium simpanan jangka masa panjang yang akan dimanfaatkan untuk masa hadapan – merangkumi sokongan bajet negara dan pengukuhan program sosial. 

Secara mudahnya, adanya segmen dana ini ia berupaya membantu negara merealisasikan matlamat pengukuhan aset dengan menyokong agenda pelaburan dan perolehan kepentingan dalam sesetengah syarikat besar. 

Setakat ini sahaja, terdapat lebih 90 SWF tersedia di seluruh dunia termasuklah di Malaysia seperti Khazanah Nasional yang merupakan dana kekayaan berdaulat Kerajaan Malaysia. 

Selain Beli TikTok – AS Ingin Tambahbaik Infrastruktur Negara

Buat pengetahuan umum, Jabatan Perbendaharaan kini diberi tempoh 90 hari untuk mengemukakan pelan perincian penubuhan dana tersebut dan sekiranya ia melepasi persetujuan Kongres – segmen dana ini dijangka dapat direalisasikan dalam masa setahun. 

Biarpun Trump tidak memberi penjelasan lanjut akan bagaiamana saluran pendapatan dana ini diraih, difahamkan antara saluran dana segmen ini adalah hasil pengenaan tarif import yang telah disuarakan. Malah penubuhan dana ini dilihat selari dengan gagasan yang dimaklumkan pada kempen politiknya yang ingin menubuhkan sokongan dana bagi menambahbaik infrastruktur di AS – merangkumi lebuhraya, pembuatan, lapangan terbang serta penyelidikan libatkan perubatan. 

Lebih menarik, terdapat potensi hasrat AS untuk membeli TikTok akan menggunakan saluran dana ini. 

Dana Mahsul AS Mungkin Mencapai Nilai Lebih $2 Trillion

Meskipun Trump tidak memberi sebarang gambaran awal berhubung jumlah sasaran sebenar pada nilai dana mahsul ini – tetapi terdapat potensi dana tersebut mencecah lebih $2 trilion!

Perihal ini pernah dimaklumkan oleh Trump pada September lalu berhubung keperluan sokongan dana AS pada pasaran hadapan kelak. Sekiranya jumlah ini dapat direalisasikan, maka ini akan menjadi dana mahsul terkumpul yang tertinggi di peringkat global. 

Menurut Institut Dana Kekayaan Berdaulat Global, ketika ini dana mahsul terbesar yang direkodkan adalah Dana Pencen Kerajaan Norway Global dengan $1.37 trilion, diikuti Perbadanan Pelaburan China dengan $1.35 bilion, Syarikat Pelaburan SAFE China dengan $1.01 trilion, dan ADIA – Pelaburan Pihak Berkuasa Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu dengan $853 bilion.