Hasil persetujuan yang dicapai sidang Lembaga Jururawat Malaysia (LJM) pada November 2024, kini kriteria kemasukan bagi program Diploma Kejururawatan di Malaysia untuk pelajar lepasan SPM telah dilonggarkan daripada keperluan 5 kredit kepada 3 kredit.
Perihal itu telah disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seiring dengan usaha negara menangani isu kekurangan tenaga kesihatan jururawat di pasaran semasa.
Namun jelas KKM, kelonggaran ini hanya terbuka kepada kemasukan pelajar bagi tahun 2025 dan 2026 sahaja. Di mana kumpulan ini perlu memiliki kredit Bahasa Melayu, Matematik dan mana-mana subjek Sains. Malah calon pelajar juga perlu meraih kelulusan pada subjek Bahasa Inggeris. Selain kriteria itu, kelulusan calon pelajar turut akan dinilai berasaskan ujian LJM dan sesi temuduga.
Secara menyeluruh, kelonggaran ini akan dinilai oleh LJM pada pelaksaannya kelak. Sekiranya ia mencapai matlamat perolehan petugas bersama tahap kemahiran yang bertepatan maka terdapat potensi untuk diperluaskan pada pengambilan selepas tahun percubaan.