Artikel

Puspakom Tangguh Tawar Pemeriksaan Kenderaan Percuma Sempena Perayaan – Fokus Atasi Isu Dalaman

Setiap tahun, sebelum meraikan perayaan utama di Malaysia – kumpulan pengguna kenderaan pastinya akan meraih tawaran khidmat pemeriksaan percuma dari Puspakom. Namun sempena Tahun Baru Cina tahun ini, penawaran tersebut telah digantung berikutan isu semakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini.

Makluman Puspakom bersama TheStar itu, turut menjelaskan pihaknya juga tidak pasti akan ketersediaan penawaran perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Sukarela (VVI) tersebut sempena Hari Raya Aidilfitri kelak, yang berpotensi diraikan pada 31 Mac 2025.

Pihaknya memaklumkan perkhidmatan ini hanya ditangguhkan untuk sementara waktu sahaja dan akan dikembalikan semula setelah sistem dalaman operasi dipulihkan semula. Biarpun tidak menjelaskan perincian isu dalaman yang berlaku, Puspakom secara amnya menggariskan pihaknya akan meningkatkan kualiti perkhidmatan, kecekapan operasi serta ketepatan pelaksanaan perkhidmatan di masa hadapan.

Bersama komitmen JPJ, semakan isu dalaman ini dijangka akan membantu Puspakom memperhalusi kembali aliran operasi mereka dengan lebih cekap untuk kepentingan kenderaan di pasaran Malaysia.