Artikel

GoPayz Akan Ditamatkan – Efektif 31 Mac 2025 Ini

GoPayz, perkhidmatan dompet digital U Mobile kini memaklumkan akan melabuhkan tirai perkhidmatan mereka dalam pasaran Malaysia – pada 31 Mac 2025 ini.

Menerusi perkongsian penutupan khidmat aplikasi GoPayz ini, para pengguna berkaitan dimita untuk melaksanakan penutupan akaun mereka iaitu dengan menggunakan baki yang masih ada atau mengeluarkan baki tersebut dengan melengkapkan Borang Permintaan Perkhidmatan atau Penutupan e-Dompet sebelum 31 Mac 2025 ini. Peringatan ini turut tertakluk kepada mata ganjaran yang dikumpul dalam GoPayz.

Sementara pada mana-mana pengguna yang memiliki akaun tetapi tidak memiliki baki, usah khuatir akaun tersebut akan ditutup dan ditamatkan secara automatik selepas 31 Mac. Dan bagi pengguna yang terkesan susulan terdapat baki yang masih tersedia dalam aplikasi tersebut – di minta untuk melaksanakan rayuan kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut (WTD) untuk tuntutan wang anda.

Permohonan tersebut boleh dilakukan bermula pada 5 Januari 2026 kelak.

Manakala bagi pengguna yang menggunakan GoPayz selaku saluran pembayaran langganan secara bulanan – perlu diingatkan untuk mengemaskini kaedah pembayaran anda bersama saluran kad pembayaran lain. Tindakan ini secara langsung akan memudahkan proses langganan berterusan dan tidak berlakunya tunggakan susulan kegagalan pembayaran dilaksanakan.