Tahun 2025 dijangka menjadi tahun yang positif buat aliran ekonomi negara – susulan tabiat berbelanja para pengguna disasar meningkat dengan perbelanjaan isi rumah berpotensi melonjak sekitar 5.2% berbanding tahun lalu.
Pertumbuhan ini menurut pengamatan firma penyelidikan BMI, unit Fitch Solution akan memperlihatkan perolehan sekitar RM954.5 bilion pada perbelanjaan isi rumah – di mana lebih tinggi berbanding tahun 2024 dengan rekod RM907.2 bilion.
Aliran positif ini antaranya didorong hasil pasaran pekerjaan yang semakin stabil diikuti paras inflasi yang terus rendah di paras 3.0%.
Tambahan sokongan bantuan asas di pasaran Malaysia terus mengukuh turut meningkatkan lagi kuasa beli pengguna kalangan kumpulan berpendapatan rendah. Persekitaran ini dijangka akan terus berkembang berikutan langkah kerajaan yang akan melaksanakan sasaran subsidi petrol pada pertengahan tahun ini, termasuklah bantuan pendidikan bersasar.
Walaupun kestabilan perdagangan dilihat semakin baik, namun kesan kestabilan ekonomi utama di dunia turut akan memberi impak kepada pasaran Malaysia. Di mana fokus perbelanjaan kewangan akan tertumpu kepada pembangunan dan invoasi, maka situasi ini boleh memberi risiko ke atas pasaran pekerjaan secara tidak langsung.
Tidak hanya itu, tahap hutang isi rumah yang kekal tinggi turut memberi cerminan, kebanyakan isi rumah di Malaysia masih dibebani paras hutang yang besar yang sekaligus mengehadkan kapasiti perbelanjaan mereka dan kapasiti pinjaman di masa hadapan.