Artikel

George Town Atasi KL – Duduki Tempat Ke-73, Pada Senarai Bandar Trafik Sesak Di Dunia

Sekiranya tahun 2023 merekodkan Kuala Lumpur menjadi bandar Malaysia yang paling sesak, ternyata tahun 2024 – bandar George Town, Pulau Pinang mengatasinya, dengan meraih kedudukan ke-73 dalam senarai kesesakan trafik dunia. Tinjauan di bawah Indeks Trafik 2024 TomTom ini memperincinkan pemandu di George Town telah kehilangan sebanyak 75 jam setahun kesan daripada kesesakan ketika waktu puncak. Data itu bermakna secara purata, kumpulan pemandu alami kehilangan waktu bersamaan 3 hari 3 jam.

Malah secara menyeluruh untuk tahun 2024, pemandu di George Town perlu mengambil masa 26 minit 36 saat pada setiap 10 kilometer. Berdasarkan catatan tarikh 24 Januari 2024 menjadi hari paling teruk untuk perjalanan di George Town susulan pemandu mengambil masa 34 minit 41 saat untuk setiap 10 kilometer.

Catatan ini sekaligus telah memperlihatkan peningkatan 10 saat berbanding catatan 2023.

Selain George Town, bandar Kota Bharu-Kelantan menjadi bandar kedua yang paling sesak di Malaysia (kedudukan dunia-139). Di mana secara purata pemandu di Kota Bharu perlu mengambil masa 22 minit 30 saat bagi setiap 10 kilometer. Ini bermakna para pemandu di Kota Bharu kehilangan sekitar 60 jam kesan kesesakan di waktu puncak.

Selanjutnya, ini senarai bandar utama di Malaysia yang alami kesesakan tinggi:

  • (3) Ipoh, Perak (164) – pemandu mengambil masa 21 minit 48 saat untuk 10km
  • (4) Johor Bahru (215) – pemandu mengambil masa 19 minit 58 saat untuk 10km
  • (5) Kuala Lumpur (285) – pemandu mengambil masa 17 minit 26 saat untuk 10km

Manakala pada taburan mengikut negara Asia Tenggara pula kesesakan trafik di bandar Filipina mengatasi negara lain dengan Davao (kedudukan ke-8 dunia), Manila (14), Caloocan (26) dan Indonesia dengan bandar Bandung (12), Medan (15), Palembang (53), Surabaya (70), diikuti Vietnam dengan bandar Ha Noi (29) dan Ho Chi Minh (32).


Melihat pada kedudukan tersebut, secara jelas terdapat peningkatan kerugiaan masa pada sebilangan bandar utama di Malaysia selain Kuala Lumpur. Kerugiaan ini turut menunjukkan berlakunya pertambahan bilangan pemilikan kenderaan mahupun kadar penghijrahan telah berlaku secara berkala. Buat pengetahuan umum, setakat ini di Malaysia terdapat 36.6 juta kenderaan telah berdaftar di seluruh negara sekaligus menjadi rekod melebihi populasi yang terdapat di Malaysia.

Biarpun kadar kerugian masa telah meningkat, Rnggt menjangkakan kadar kesesakan trafik ini akan alami penurunan susulan Malaysia dalam usaha meluaskan pengangkutan awam tren di seluruh negara. Ini meliputi Pulau Pinang serta jajaran ECRL melibatkan laluan Pantai Timur.