Artikel

Majikan Ambil 1 Pekerja Ekspat, Kelak Perlu Ambil 3 Pelajar Praktikal – KESUMA 

Tidak lama lagi, bagi syarikat yang mengambil pekerja ekspatriat dikehendaki mengambil sehingga 3 pelajar praktikal tempatan pada operasi mereka berlandaskan Dasar Latihan Amali 1:3 yang akan dikuat kuasakan kelak.

Ini bermakna bagi setiap kelulusan Pas Penggajian Ekspatriat (EP) melalui Pusat Perkhidmatan Ekspatriat Malaysia (MYXpats) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) – firma perlu menyediakan sehingga 3 penempatan latihan industri berbayar kepada pelajar tempatan.

Dasar di bawah Talent Corporation Malaysia ini menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan dilaksanakan secara rintis mulai 15 Februari sehingga 31 Disember 2025 ini sebelum ia berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Januari 2026.

Dasar latihan amali ini bertujuan memberi manfaat kepada 100,000 pelajar tempatan dari institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia. Di mana dengan akses ini ia akan meningkatkan peluang buat bakat tempatan negara dalam memenuhi pasaran pekerjaan di masa hadapan.

Malah pada dasar ini juga, insentif cukai di bawah Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP) akan disediakan kepada kumpulan syarikat yang terlibat susulan penyediaan tawaran tersebut.

Ekspatriat merujuk kepada kumpulan pekerja warga asing profesional yang bertugas di negara lain.