Selain perluasan pusat data dan sokongan kecerdasan buatan (AI), kerajaan Malaysia kini dalam pertimbangan untuk merangka dasar melibatkan kewangan digital. Langkah ini sekaligus meluaskan potensi akan keperluan rantaian blok serta aset digital seperti mata wang kripto pada pasaran negara.
Tumpuan itu difahamkan telah melibatkan perbincangan antara Perdana Menteri Anwar, pimpinan Abu Dhabi dan pengasas Binance, Changpeng Zhao. Untuk fasa awal, kajian berhubung pendekatan itu akan diteliti sebelum ke tahap selanjutnya dalam merealisasikan idea tersebut. Tindkan ini dilihat wajar untuk memastikan negara tidak terus terkurung akan sistem kewangan lama.
Malah PM Anwar turut memaklumkan perincian perbincangan itu akan dibawa ke sidang Kabinet kelak bagi memperhalusi tindakan seterusnya. Penelitian ini penting bagi memastikan pengawalan selia rangka tersebut di tahap terbaik untuk melindungi kepentingan rakyat tanpa menjejaskan sebarang maklumat peribadi.
Pada semakan itu, terdapat beberapa agensi kerajaan dicadangkan untuk laksana penelitian antaranya Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam meneroka potensi segmen ekonomi tersebut.