Dengan memanfaatkan kemudahan teknologi kecerdasan buatan (AI) – tidak lama lagi, Malaysia akan memperlihatkan kemunculan operasi bank digital ke-5 iaitu Ryt Bank. Apa yang menarik antara penawaran khidmatnya adalah melibatkan ciri dalam bentuk sistem perbualan ataupun chat yang dikuasakan oleh AI.
Ryt Bank menjadi penerima lesen bank digital ke-5 yang telah diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia pada April 2022 lalu. Kelulusan operasi yang diraih daripada BNM bersama Kementerian Kewangan (MOF) ini secara langsung merealisasikan agenda BNM dalam meluaskan lagi khidmat perbankan dalam kalangan penduduk Malaysia.
Buat pengetahuan umum, Ryt Bank adalah bank digital yang tertakluk di bawah perlesenan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK) – ini bermakna penawaran perkhidmatan tidak mengikuti piawaian syariah.
Secara menyeluruh pengendalian melibatkan konsortium antara Sea Limited dan YTL Digital Capital ini sekaligus telah melengkapkan kumpulan penerima lesen bank digital yang sah di pasaran Malaysia. Berbekalkan konsep sistem perbankan yang berbeza berbanding penyedia yang lain, peluang ini dilihat akan merancakkan lagi penyertaan pengguna negara pada perkhidmatan kewangan berikutan operasi perbankan tersebut berpotensi tersedia sepanjang masa.