Setelah melaksanakan fasa pertama bagi pengujian sistem baharu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini memaklumkan e-PCB Plus akan diperkenalkan – bagi menggantikan sistem perkhidmatan Potongan Cukai Bulanan sedia ada iaitu e-PCB, e-Data PCB dan e-CP39.
Pelaksanaan ini akan disatukan di bawah portal MyTax kelak.
Susulan itu, para majikan dinasihatkan untuk menyelesaikan semua pengemukaan data dan bayaran PCB bagi potongan bulan semasa atau potongan tahun kebelakangan pada atau sebelum 15 Januari 2025.
Mulai 15 Januari 2025, sistem PCB sedia ada hanya akan dibuka untuk tujuan paparan sahaja bagi membolehkan majikan membuat semakan terhadap maklumat dan rekod PCB terdahulu sahaja. Ini bermakna fungsi lain seperti pengiraan, pengisian dan bayaran PCB akan ditutup sepenuhnya.
Maka HASiL menyarankan agar majikan yang sedang menggunakan sistem e-PCB, e-Data PCB dan e-CP39 dan masih belum membuat pendaftaran peranan di sistem e-PCB Plus – untuk menyelesaikan semua pengemukaan berkaitan dengan segera bagi melancarkan proses peralihan berkenaan.