Setelah memperkenalkan ciri Nombor Kad Dinamik pada penggunaan kad kredit bagi tahun 2023 – hari ini secara rasminya Alliance Bank meluaskan lagi perkhidmatan mereka dengan melancarkan akses Kad Kredit Maya (VCC) Alliance Bank bersama sokongan Samsung Wallet dan Google Wallet.
Jelas Kelle Kam, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) usaha ini secara langsung akan memberi manfaat kepada sebahagian besar pengguna kad kreditnya yang terdiri daripada pengguna Android. Di mana ia memperluaskan keupayaan VCC dari pembayaran dalam talian kepada pembelian di kedai fizikal.
Bersama akses tersebut yang menyokong teknologi NFC, ini secara langsung akan meningkatkan lagi penggunaan pembayaran secara nirtunai (tanpa tunai) dalam pasaran semasa. Untuk makluman umum ketika ini pembayaran nirtunai adalah mewakili lebih sembilan daripada 10 transaksi Visa secara bersemuka di negara ini dan ia jelas menunjukkan bahawa pemegang kad Malaysia lebih bersedia akan akses mod pembayaran tersebut.
Selain kad kredit maya ini, pautan kad kredit VISA Alliance Bank yang lain turut meraih sokongan Samsung Wallet dan Google Wallet.