Artikel

KWSP Perkenal i-Akaun Secure, Ciri Pengesahan Transaksi Pada Aplikasi – Mulai 6 Januari Ini

Bermula 6 Januari ini, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menerima akses ciri keselamatan baharu pada aplikasi KWSP i-Akaun iaitu i-Akaun Secure.

Pengenalan ciri ini menurut KWSP, adalah sebagai kaedah pengesahan berasaskan aplikasi yang digunakan untuk meluluskan transaksi dan aktiviti dalam talian di portal web i-Akaun (Ahli) dan aplikasi KWSP i-Akaun.

Buat masa ini, ciri tersebut hanya tersedia di aplikasi KWSP i-Akaun. Dengan i-Akaun Secure, para pencarum boleh menikmati kelulusan ‘one-tap approval’ yang mudah dan selamat melalui aplikasi KWSP i-Akaun tanpa perlu memasukkan TAC SMS enam digit.

Maka pada pengenalan awal ini, i-Akaun Secure hanya tersedia untuk Pengeluaran Akaun Fleksibel iaitu Akaun 3 KWSP sebelum diperluaskan pada akses untuk pengeluaran dana KWSP yang lain kelak.