#1 Tahun 2024 – OPR Terus Kekal 3.00%, Tidak Alami Peningkatan Sejak Mei 2023
OPR atau Kadar Dasar Semalaman telah menunjukkan paras yang konsisten iaitu kekal di 3.00% – ini menjadikan ia sebagai kadar yang sama sebagaimana yang telah ditetapkan sejak Mei 2023 lagi!
Pengekalan ini bermakna tiada kos tambahan untuk pengguna dalam aspek pinjaman – di mana ia didorong prestasi ekonomi Malaysia yang semakin baik, diimbangi kemasukan pelaburan yang bagus, sokongan pelancongan yang semakin rancak serta pasaran pekerjaan juga kian meluas!
#2 Malaysia Diiktiraf Selaku Negara Rakan BRICS – Tetapi Berdepan Ancaman Tarif Import AS
Tahun ni Malaysia secara rasminya diiktiraf selaku negara rakan BRICS – iaitu blok ekonomi yang dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
Di mana pakatan ini tidak sekadar nak kukuhkan kedudukan negara dan prestasi ekonomi tetapi turut nak mengekang dominasi mata wang yang dikelola dolar Amerika Syarikat (AS) pada pasaran global. Jadi selain Malaysia, ada 12 negara lain turut menerima pengiktirafan tersebut termasuklah Indonesia, Vietnam dan Thailand.
Tapi apa yang kurang enak adalah – Donald Trump, bakal peneraju pentadbiran AS pula bagi ancaman nak kenakan tarif import 100% ke atas negara anggota. Tetapi jangan salah faham, Malaysia untuk makluman mulai 1 Januari 2025 hanya diiktiraf selaku negara RAKAN BRICS sahaja bukan negara anggota – namun situasi ini tetap mendapat perhatian negara susulan kita mengamalkan konsep dasar ekonomi terbuka, maka sebarag kesan di pasaran global mungkin akan menjejaskan pasaran kita jua.
#3 Semenanjung Malaysia Berdepan Kekurangan Sumber Minyak, Gas – Susut 50%
Rupanya dalam tempoh 10 tahun, Semenanjung Malaysia kini berdepan pengurangan sumber minyak mentah dan gas – di mana telah merosot 50%!
Kalau dulu kita boleh keluarkan minyak di Semenanjung ni sekitar 700,000 tong sehari. Kini tidak lagi, hanya sekadar 350,000 tong sehari.
Situasi ini secara langsung menuntut negara untuk percepatkan lagi proses peralihan tenaga termasuklah langkah penyasaran subsidi. Sebab apa? Bila kekurangan sumber, maka cabarannya adalah penentuan peruntukan ke atas setiap negeri juga jadi lebih sukar dan setakat ini sahaja Malaysia telahpun import 30% gas untuk jana elektrik dalam industri bagi keperluan dekat Semenanjung!
Maka kita kena percepatkan lagi pendekatan untuk atasi isu ini, supaya tiada pula isu kebergantungan ke atas sumber baharu negara asing.
#4 Proton, Perodua – Kini Tampilkan Siri Kereta Elektrik Di Pasaran Malaysia
Kenderaan Elektrik atau EV kini semakin meluas dekat pasaran Malaysia, sewaktu pembabitan EV pada pasaran negara kita dulu dilihat lebih banyak penawaran produk EV hadir dari negara luar seperti China dan AS. Kini penawaran tersebut telah mendapat saingan dari jenama tempatan iaitu Proton dengan pengenalan e.MAS 7 dan Perodua pula dengan Emo I, Emo II, Emo III.
Setakat ni e.MAS 7 telah memaklumkan penawaran harga melebihi RM100,000, manakala Perodua EMO I,II pula dijangka mungkin di bawah RM100,000. Penawaran ini sekaligus akan merancakan lagi penggunaan EV kalangan penduduk Malaysia. Tambahan negara juga mengumumkan sidang ASEAN 2025 kelak akan memperlihatkan semua pemimpin yang hadir akan menggunakan e.MAS 7 sebagai kereta rasmi sidang dan terdapat 8 kementerian negara turut akan menggunakan EV sebagai kenderaan rasmi jabatan.
Langkah itu secara tidak langsung memaparkan komitmen negara tidak sekadar penggunaan di peringkat rakyat tetapi pentadbiran pun turut menyokong penuh akan penggunaan EV ini.
#5 Rakyat Malaysia Kini Raih Akses 3 Penyedia Bank Digital
Pasaran semasa kini menunjukkan terdapat tiga bank digital telah dilancarkan di Malaysia – iaitu GXBank, Aeon Bank dan Boost Bank.
Akses ini selaras dengan perolehan lesen bank digital yang telah dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Di mana terdapat pecahan lesen bank digital konvensional selaras dengan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK) dan patuh syariah di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI).
Berdasarkan penawaran itu, dua bank digital yang telah tersedia adalah merupakan bank digital konvensional iaitu GXBank dan Boost Bank manakala Aeon Bank pula adalah bank digital patuh-syariah.
Akan tetapi masih terdapat dua penerima lesen bank digital belum melancarkan lagi akses perkhidmatan mereka, ianya adalah konsortium antara Sea Limited dan YTL Digital selaku penyedia bank digital konvensional manakala KAF Investment pula selaku penyedia bank digital patuh-syariah. Seharusnya kedua bank digital ini dilancarkan pada akhir tahun ini akan tetapi melihat pada penangguhan tersebut, pelancaran bank digital tersebut berkemungkinan dilanjutkan pada 2025 ini.
#6 Had Simpanan Asas KWSP Akan Dinaikkan Secara Berkala – Kepada RM390,000
Jika sekarang had simpanan bersara ditetapkan RM240,000 – menjelang tahun 2028 nanti jumlah itu akan jadi RM390,000! Eh kenapa pulak?
Tindakan ini menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah untuk penuhi tuntutan tekanan kos semasa – jumlah itu akan membolehkan orang awam untuk keluarkan lebih RM1,600 sebulan bagi tempoh 20 tahun ketika bersara. Ini bermakna, KWSP ingin orang awam memiliki akses bersara yang lebih selesa.
Jelas KWSP, kenaikan had simpanan asas tu akan naik secara berkala bermula 1 Januari 2026 bersama kenaikan RM50,000 setahun sehinggalah 1 Januari 2028 ditetapkan pada RM390,000. Buat pengetahuan umum, penetapan RM240,000 selaku had asas simpanan pencen tidak lagi relevan berikutan tekanan kos semasa.
Mengikut data semasa, kebanyakan pesara mengeluarkan dana persaraan mereka secara bulanan lebihi RM1,600 ketika ini. Situasi itu secara langsung bercanggah dengan keperluan yang ditetapkan RM1,000 sebulan berlandaskan simpanan asas RM240,000. Maka keperluan peningkatan had simpanan asas wajar disegerakan.
#7 Paras Gaji Minimum Pekerja Malaysia Akan Naik Kepada RM1,700
Tahniah! Mulai 1 Februari 2025, paras gaji minimum di Malaysia akan naik kepada RM1,700 berbanding RM1,500 yang ditetapkan pada tahun 2022. Buat pengetahuan umum, pelarasan gaji minimum ini akan dikaji setiap dua tahun. Jadi setelah tahun 2022, kini tahun 2024 pula memperlihatkan penguatkuasaan gaji minimum yang lebih baik telah dicapai oleh negara.
Paras gaji baharu ini secara tak langsung akan naikkan kuasa beli pengguna pada pasaran ekonomi dan atasi isu tekanan kos sara hidup yang menyukarkan kumpulan pekerja untuk menyimpan.
Namun pelaksanaan ini akan dikecualikan kepada majikan yang miliki 5 pekerja ke bawah sahaja untuk tempoh selama 6 bulan dan setelah itu pada 1 Ogos 2025 – pihak ini juga perlu laksana gaji minimum tersebut bersama pekerja mereka.
#8 Indikator Kos Sara Hidup Diperkenalkan & Pengelasan T15 Akan Diumumkan
Kesan tekanan kos, kekurangan sumber dan nak pastikan rakyat Malaysia yang memerlukan tidak lagi ditindas – maka Malaysia kini telah mula perkenalkan Indikator Kos Sara Hidup melalui Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar iaitu MyPAKW.
Di bawah kalkulator MyPAKW ni semua penduduk Malaysia boleh ketahui anggaran kos asas isi rumah mereka berlandaskan lokasi, bilangan isi rumah dan usia mereka! Dan selain indikator ini, kelak rakyat akan meraih akses PADU iaitu Sistem Pangkalan Data Utama di Malaysia yang akan memperincikan lagi status seseorang penduduk itu berdasarkan aspek tambahan.
Makna kata semua masyarakat akan lebih ketahui status kelayakan perolehan subsidi dan bantuan kelak. Terdapat potensi walaupun memiliki pendapatan yang tinggi namun berikutan kos komitmen yang lebih tinggi membolehkan kumpulan rakyat ini miliki akses subsidi yang setimpal.
Selain pendekatan ketahui kos asas, negara juga akan umumkan pengelasan T15! Di mana kelas pendapatan tinggi ini akan memudahkan kerajaan untuk menapis kumpulan rakyat yang layak meraih bantuan – antaranya penyasaran subsidi RON95. Berdasarkan perkongsian semasa, pengelasan T15 akan berupaya diumumkan seawal suku pertama 2025 ini.
#9 Lebih 415,000 Peminjam PTPTN Yang Telah Bekerja, Tidak Pernah Buat Bayaran Balik
Masih ramai sebenarnya tidak membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Tahukah anda, sekitar 415,109 peminjam setakat Ogos lalu didapati telah bekerja dan tidak pernah membuat sebarang bayaran balik kepada PTPTN!
Dan lebih mengejutkan rupanya 45.7% atau hampir 190,000 peminjam yang tidak pernah buat bayaran balik tersebut adalah penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Melihat data ini, Rnggt pasti walaupun ramai graduan telah bekerja namun pelbagai faktor telah memberi kesan kepada mereka sehinggakan tidak membayar PTPTN. Antaranya gaji yang lebih rendah, tekanan kos serta komitmen semasa. Namun kita juga perlu akui, kesan tidak melunaskan semula bayaran tersebut, ia akan membawa padah kepada kumpulan pelajar di masa hadapan.
Antaranya PTPTN kini sedang pertimbang untuk tidak memberi pinjaman kepada kos pendidikan yang miliki rekod bayaran balik rendah. Susulan itu amatlah penting untuk kita menguruskan kewangan dan melunaskan hutang mengikut penjadualan yang telah ditetapkan.
#10 53% Rakyat Malaysia Masih Bergantung Sepenuhnya Pada Gaji – Tak Mampu Simpan Wang
Amat menyedihkan tetapi itulah hakikat yang harus dipikul oleh separuh rakyat Malaysia. Di mana mengikut data Kajian Literasi Kewangan RinggitPlus 2024 – sekitar 55% rakyat negara akui kekal cemas akan status kewangan semasa mereka susulan berdepan komitmen yang tinggi dengan 53% pula bergantung sepenuhnya kepada gaji mereka. Keadaan ini menunjukkan kapasiti menyimpan lebih kecil.
Malah ada yang berbelanja lebihi pendapatan, ini menandakan lebih ramai rakyat Malaysia berhutang dan sekaligus tiada kapasiti untuk membuat simpanan!
Sementara mengikut perancangan bersara pula, 40% rakyat pada tahun ini akui tidak membuat sebarang perancangan pencen berikutan keutamaan kewangan adalah tertumpu kepada perbelanjaan bulanan. Diikuti 26% pula beranggapan mereka masih muda untuk laksana perancangan kewangan hari tua.