Artikel

Lebih 2.6 Juta Suri Rumah Di Malaysia Masih Tidak Mendaftar, Tingkatkan Pelindungan – Perkeso

Sepanjang tahun ini, didapati seramai 512,518 wanita berstatus suri rumah telah sertai caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Dengan nilai caruman keseluruhan sebanyak RM61.5 juta, angka ini untuk makluman telah mencapai 100% sasaran Perkeso bersama Kementerian Sumber Manusia bagi menggalakkan suri rumah di Malaysia memanfaatkan akses kebajikan yang lebih cekap di pasaran semasa.

Berlandaskan caruman itu, difahamkan sekitar 2,019 kes tuntutan telah meraih kelulusan dengan perolehan faedah bernilai RM3.9 juta sehingga November lalu. Menerusi perlindungan ini, ia jelas menunjukan komitmen Perkeso dalam perluaskan akses kebajikan tidak sekadar ke atas pekerja tetapi turut meliputi masyarakat umum.

Biarpun data itu, menjelaskan lebih setengah juta suri rumah telah mendaftar untuk manfaat SKSSR namun angka ini hanya mewakili 16.5% sahaja daripada jumlah suri rumah – di mana masih terdapat lebih 2.6 juta suri rumah yang belum mendaftar pada perlindungan ini.

Untuk makluman umum, ketika ini terdapat 10 syarikat telah terlibat dalam menaja caruman SKSSR berjumlah RM558,360 bagi membantu wanita golongan B40 yang tidak miliki keupayaan bayar caruman ini. Akses ini telahpun dicapai menerusi kesepakatan Perkeso bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN). Maka peluang ini seharusnya dimanfaatkan semua pihak untuk meningkatkan kesejahteraan sosial mereka di masa hadapan.