Antara tindakan penguatkuasaan yang dikenakan ke atas Bybit Technology Limited berikutan mengendalikan pertukaran aset digital (DAX) secara haram di Malaysia – adalah perlu menutup laman web serta aplikasi mudah alih medium mereka di pasaran negara.
Tegas Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada notis rasmi hari ini, Bybit turut diarahkan untuk berhenti mengedar, menerbitkan atau menghantar sebarang iklan sama ada dalam siaran media sosial atau mana-mana medium kepada kumpulan pelabur Malaysia.
Malah Bybit juga perlu tamatkan kumpulan akaun Telegram mereka kepada rakyat negara. Perihal ini bertujuan melindungi hak pelabur dari sebarang pemaparan makluman yang tidak tepat.
Buat pengetahuan umum, tindakan mengendalikan DAX tanpa mendapatkan pendaftaran SC selaku pengendali pasaran diiktiraf (RMO) adalah satu kesalahan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
Berikutan situasi tersebut, para pelabur diingatkan untuk mengamalkan pendekatan yang berhati-hati dalam melabur dan harus memastikan berurusan dengan pihak pengendali pasaran yang diiktiraf sahaja.