Artikel

Sejumlah 114 Juta e-Invois Kini Telah Dikeluarkan, Hasil Penglibatan 9,000 Syarikat – LHDN

Penggunaan e-invois di pasaran Malaysia kini dilihat semakin meluas apabila merekodkan sekitar 114 juta e-invois setakat 26 Disember (semalam). Pengeluaran e-invois itu untuk makluman melibatkan penyertaan 9,000 syarikat di pasaran semasa.

Jumlah penyertaan itu bermakna tidak sekadar melibatkan kumpulan pembayar cukai bagi fasa 1 sahaja – ia turut memaparkan lebih ramai pembayar cukai secara sukarela terlibat pada pengeluaran e-Invois tersebut bersama pengguna perniagaan mereka.

Jelas perkongsian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada laporan Bernama – sokongan ini secara jelas menunjukkan lebih ramai pembayar cukai di Malaysia telah bersedia dan pihaknya telah bersedia akan pelaksanaan e-Invois untuk kumpulan fasa kedua yang dijangka bermula 1 Januari ini.

Buat pengetahuan umum, fasa pertama memperlihatkan penyertaan pembayar cukai atau syarikat yang miliki pendapatan dan jualan tahunan lebihi RM100 juta, sementara fasa kedua pula melibatkan kumpulan yang meraih pendapatan atau jualan tahunan lebihi RM25 juta dan seterusnya keperluan e-Invois akan dilaksanakan secara menyeluruh pada 1 Julai 2025 kelak.