Industri ternakan di Malaysia memaparkan perkembangan yang baik apabila jumlah dagangan ternakan meningkst 23.2% kepada RM1.4 bilion pada tahun 2023.
Kemajuan ini menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mencerminkan permintaan ternakan dan produk berkaitan semakin meningkat pada pasaran domestik dan industri semasa. Lonjakan tersebut melibatkan ternakan terpilih seperti ayam, telur, lembu, kambing, itik, babi dan biri-biri.
Secara menyeluruh, ayam dan telur terus menjadi penyumbang terbesar kepada subsektor ternakan serta jadi segmen penting dalam memenuhi keperluan protein rakyat Malaysia. Pada tahun lalu, nilai eksport ayam telah mencapai RM726.7 juta, meningkat 27% berbanding 2022.
Diikuti pengeluaran telur pula mencatatkan peningkatan dengan prestasi eksport mencapai RM671.2 juta pada 2023. Sementara bagi industri ruminan pula – aliran import dilihat lebih rancak dengan ternakan lembu memaparkan nilai import lebih tinggi iaitu RM108.7 juta, disusuli nilai import ternakan biri-biri dan kambing mencapai RM27.2 juta. Bagi ternakan biri-biri dan kambing direkodkan Australia dan Indonesia menjadi pengeksport utama ke Malaysia.
Walaupun aliran import lebih tinggi pada industri ruminan, melihat pada pasaran ternakan pada skala besar – terdapat beberapa negara memaparkan kebergantungan pada bekalan Malaysia. Antaranya Singapura jadi destinasi eksport utama produk ternakan di Malaysia dengan 96.4%. Diikuti Vietnam dan Brunei, manakala Australia, New Zealand dan Thailand pula jadi negara utama pada langkah import di Malaysia – dengan mewakili 84.8% daripada jumlah import ternakan di Malaysia.