Untuk memastikan tanggungjawab zakat diperluaskan dan dipermudahkan kaedah pembayarannya – Malaysia kini jadi negara pertama membolehkan umat Islam untuk membayar zakat menggunakan aset digital mata wang kripto.
Penawaran di bawah Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) ini menurut laporan Buletin TV3 adalah inisiatif untuk meningkatkan tanggungjawab pengguna pada era teknologi.
Dengan melantik Sharlife sebagai ejen kutipan zakat rasmi pertama untuk memudahkan pembayaran melalui aset digital, mata wang kripto. Akses ini akan memudahkan aliran pembayaran zakat dilaksanakan di mana sistem tersebut akan menyaring token pada dompet digital pembayar mengikut ketetapan syariat Islam sebelum mengira kadar zakat 2.5%. Turut difahamkan sistem ini juga memantau kesan naik turun nilai aset dan memastikan nilai setimpal diraih untuk kebajikan kumpulan asnaf.
Ini Cara Anda Membayar Zakat Guna Aset Digital, Mata Wang Kripto
#1 Pengguna perlu layari laman pautan Pembayaran Zakat Guna Aset Digital SharLife dan PPZ
#2 Selanjutnya pengguna perlu menambah alamat dompet aset digital anda
#3 Tanda kotak untuk mengesahkan bahawa token telah dimiliki selama lebih setahun (hawl)
#4 Semak pecahan aset anda
#5 Pilih kaedah pembayaran
#6 Isi maklumat peribadi untuk lengkapkan permohonan pembayaran zakat dan akhir sekali tekan butang Bayar Zakat
#7 Menerusi penyelesaian pembayaran zakat, para pengguna akan menerima salinan resit
Adanya insiatif ini ia dilihat seiring dengan peningkatan nilai aset digital yang kian melonjak kalangan rakyat Malaysia – setakat ini sahaja jumlah tersebut telah mencapai RM16 bilion, ia secara tak langsung menuntut tanggungjawab zakat kalangan segelintir pengguna.
Selain penawaran tersebut, pihak Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-134 turut telah mencapai kesepakatan bahawa mata wang digital adalah komoditi yang diniagakan dengab zakat perniagaan berkadar 2.5%.
Berlandaskan rekod kutipan zakat aset digital telahpun meningkat 73% dengan jumlah RM44,991.97 pada tahun ini berbanding RM25,938.91 pada tahun lalu.