Artikel

MyCC: Persatuan Peniaga Yang Umum Jangkaan Harga Naik Akan Dipantau – Cubaan Bebani Kos Rakyat

Perlu diakui, ketika ini tidak hanya individu bahkan perniagaan juga turut berdepan tekanan kos pada pasaran semasa. Namun tindakan sebilangan persatuan perniagaan yang berselindung disebalik jawatan mereka dan menggunakan platform persatuan untuk mengumumkan kenaikan harga secara terbuka pada pasaran dilihat berpotensi memberi kesan negatif ke atas kos rakyat di Malaysia.

Tanpa sedar, pengumuman jangkaan tersebut ibarat isyarat kepada ahli perniagaan yang lain untuk merealisasikan kenaikan harga tersebut dan memberi kesan ke atas sentimen di pasaran semasa. Situasi ini secara tidak langsung telah mewujudkan perlakuan kartel di pasaran negara.

Kartel mewakili kumpulan persatuan antarabangsa pengeluar atau pengusaha sesuatu barangan yang bertindak untuk menguasai pasaran. Antaranya dengan pengawalan harga.

Isu ini menurut Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang disiasat dan setakat ini sahaja terdapat 5 syarikat pengeluar makanan ayam telah berdepan denda RM415.5 juta susulan pihak ini menggunakan medium Malaysian Feedmillers Association untuk mereka berkumpul lantas memulakan serta memperkukuhkan lagi perlakuan kartel mereka melalui pertukaran maklumat tentang kos dan harga.

Selari dengan peranan dan melalui pindaan Akta Persaingan 2010 yang akan dibentangkan pada awal tahun 2025 – buat pengetahuan umum, kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan MyCC akan diperkasakan lagi untuk memastikan perilaku sabotaj ekonomi seperti ini ditangani dengan lebih efektif melalui penalti yang lebih berat.

Maka ke arah penguatkuasaan yang lebih mendalam, MyCC mengalu-alukan kerjasama semua pihak termasuklah ahli jawatankuasa atau ahli-ahli persatuan yang tidak bersetuju dengan tindakan persatuan yang mengamalkan perlakuan kartel. Maklumat tersebut boleh disalurkan melalui saluran rasmi laman aduan MyCC atau emel ke [email protected] untuk tindakan lanjut.