Menyedari kos penjagaan kesihatan di Malaysia telah meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun lalu dengan inflasi kos perubatan mencecah 15% pada tahun 2024 – Bank Negara Malaysia (BNM) kini sediakan beberapa langkah interim untuk melindungi hak pengguna berkaitan pelarasan kadar premium insurans perubatan di pasaran.
Antaranya adalah pengendali insurans dan takaful (ITO) akan melaksanakan perubahan kadar premium secara berkala dalam tempoh 3 tahun kepada semua pemegang polisi yang terkesan disebabkan oleh penetapan semula premium.
Langkah ini akan dilaksanakan sehingga akhir tahun 2026. Menerusi langkah ini, sekurang-kurangnya 80% pemegang polisi dijangka menghadapi pelarasan premium tahunan yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan sebanyak kurang daripada 10%.
Manakala pemegang polisi yang berusia 60 tahun ke atas pula – dimaklumkan akan dikecualikan daripada sebarang pelarasan kadar premium insurans mereka selama setahun dari tempoh ulang tahun polisi mereka.
Langkah sementara ini juga diperjelaskan tidak akan terpakai ke atas pemegang polisi beralih ke kategori umur yang lebih tinggi. Hal ini akan diuruskan secara berasingan oleh ITO.
Secara menyeluruh semua ITO perlulah menyediakan produk MHIT alternatif yang bersesuaian pada premium yang sama atau lebih rendah bagi pemegang polisi yang tidak berminat untuk meneruskan pelan MHIT mereka yang sedia ada dan yang premiumnya telah ditetapkan semula.
ITO yang tidak menyediakan produk alternatif yang sesuai pada masa ini hendaklah menawarkan produk tersebut kepada pemegang polisi selewat-lewatnya pada hujung tahun 2025.
Sehubung untuk pihak yang terlibat, antaranya pemegang polisi individu yang akan berdepan pelaksanaan secara berperingkat, kumpulan ini disarankan untuk menghubungi ITO masing-masing mulai 15 Januari 2025 bagi perincian lanjut.