Artikel

Gaji Pekerja Wanita Di Malaysia 6.2% Lebih Rendah – Meskipun Kuasai Prestasi Pendidikan Sejak 2013

Jurang indeks gender Malaysia (MGGI) kini merekodkan 0.705, data ini bermakna penyertaan wanita secara menyeluruh dalam ekonomi Malaysia masih lagi rendah.

Ini diselaras berdasarkan Indeks Jurang Gender Dunia (GGI) yang diperkenalkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) – yang menjelaskan sekiranya sesebuah negara mencapai skor 1.0 (100%) maka keseimbangan penyertaan ekonomi dalam gender adalah baik dan seimbang. Namun data itu jelas menunjukkan tidak bagi Malaysia.

Mengikut perkongsian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada hari ini, segmen peluang dan penyertaan ekonomi wanita diperhatikan masih lagi rendah dengan hanya 56.2% kadar penyertaan tenaga buruh dicatatkan pada 2023.

Kenyataan ini secara langsung tidak seimbang dengan prestasi pencapaian pendidikan yang dipaparkan oleh graduan negara. Di mana pencapaian wanita terus meningkat melebihi lelaki dengan skor 1.071.

Untuk makluman kadar pencapaian pendidikan di peringkat rendah, menengah dan tertiari (tinggi) bagi wanita secara konsisten adalah lebih tinggi berbanding lelaki sejak 10 tahun yang lalu.

Data ini secara jelas menunjukkan akses pendidikan negara terus meluas melibatkan kedua gender di Malaysia. Sementara peluang ekonomi pula meskipun masih rendah, ia jelas memaparkan peningkatan kecil secara tahunan.

Kesan peningkatan kecil itu, secara langsung membawa kepada anggaran pendapatan yang tidak seimbang walaupun memiliki kemahiran dan pengalaman yang setara. Mengikut Laporan Statistik Pemerkasaan Wanita dalam Domain Terpilih 2024 ini – bagi setiap RM100 gaji dan upah yang diterima lelaki, wanita sekadar menerima RM93.80 sahaja.

Ia secara langsung memperlihatkan anggara pendapatan wanita sekitar RM39,736, sementara lelaki pula lebih tinggi dengan RM42,383.

Manakala penyertaan wanita selaku kumpulan pengubal undang-undang, pengawai kanan dan pengurus pula adalah mewakili 25.4% dan lelaki pula 74.6%. Diikuti kumpulan profesional dan pekerja teknikal pula wanita mewakili 40.2% dan lelaki 59.8% pada pasaran ekonomi Malaysia.

Bagi penyertaan dalam politik pula juga merekodkan peratusan yang lebih kecil – hanya 13.5% ahli Parlimen di Malaysia adalah wanita dan 16.1% wanita pula memiliki jawatan Menteri dalam pentadbiran negara.

Data tersebut jelas menunjukkan penyertaan wanita masih lagi rendah biarpun diperingkat pentadbiran negara. Menerusi ketirisan ini, Rnggt berpendapat penggubal dasar sewajarnya menyeimbangkan keperluan tersebut untuk menjadi penggerak utama pada perluasan hak wanita dalam ekonomi negara di masa hadapan.