Bank Negara Malaysia (BNM) kini mencadangkan pemansuhan berhubung kaedah Peraturan 78 yang bertindak mengira faedah ke atas produk pembiayaan peribadi dengan had tempoh maksimum 10 tahun di pasaran kelak.
Tindakan ini secara langsung akan membantu pengguna pinjaman yang melaksanakan bayaran awal tidak berdepan sebarang penalti.
Buat pengetahuan umum Peraturan 78 – merujuk kepada pengiraan jumlah bulan dalam masa setahun, ini bermakna biarpun pinjaman dibayar pada tempoh lebih awal daripada apa yang dijadualkan namun peminjam tidak mendapat sebarang penjimatan faedah susulan nisbah faedah lebih tinggi berbanding prinsipal pinjaman.
Maka BNM di bawah draf pendedahan pembiayaan peribadi kini menuntut maklum balas orang awam berkenaan cadangan untuk melarang penyedia perkhidmatan kewangan (FSP) daripada menawarkan pembiayaan peribadi dengan faedah dikira menggunakan kadar rata menerusi Peraturan 78.
Namun kumpulan FSP masih miliki pilihan untuk menawarkan pengguna akan pembiayaan peribadi berkadar tetap mahupun terapung atau pengenaan faedah ke atas baki prinsipal yang tinggal setelah melaksanakan pembayaran prinsipal.
Menerusi cadangan itu, FSP dikehendaki menjelaskan kepada pengguna akan kadar faedah yang akan diterapkan untuk produk pembiayaan peribadi ini termasuklah melibatkan penerangan cara faedah dikira dan untuk kadar terapung perlu mendedahkan potensi kadar tersebut naik mahupun menurun. Tidak hanya itu perincian jumlah bayaran balik juga perlu dimaklumkan kepada pengguna sebagaimana pengiklanan dan bahan promosi yang dipaparkan kepada pengguna.
Secara menyeluruh, usul pemansuhan Peraturan 78 ini dilihat selaras dengan komitmen Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menerusi pindaan Akta Sewa Beli 1967 yang akan dibentangkan pada separuh pertama 2025 di Parlimen kelak.
Peraturan 78 adalah kaedah jumlah digit yang melibat pertambahan bermula bulan pertama sehingga bulan 12 (1+2+3+4+5+6+7+8+9+10+11+12=78). Di mana ia mengira faedah dengan menetapkan faedah maksimum perlu dibayar pengguna pada permulaan pinjaman. Tindakan ini sekaligus membawa kepada kadar lebih perlahan untuk menyelesaikan pinjaman pada tempoh yang lebih awal.
Bayaran faedah akan dikira sebanyak 12/78 daripada prinsipal untuk bulan pertama dan kadar bayaran faedah akan semakin mengecil sehingga pinjaman berakhir. Secara mudahnya, bayaran pinjaman peribadi yang dilunaskan pembayar adalah lebih besar pada nisbah faedah berbanding prinsipal. Keadaan ini mendorong jumlah hutang pengguna kekal tinggi.