Sebagaimana yang disasarkan sejak Julai lalu, Malaysia dan Thailand optimis memastikan nilai dagangan kedua negara terus rancak dengan mencapai $30 bilion menjelang tahun 2027.
Sasaran itu menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan diterjemah menerusi perluasan ketersambungan rentas sempadan, kerjasama import-eksport produk pertanian, meneroka usahasama dalam pelbagai sektor antaranya pengangkutan darat, perniagaan, francais dan sokongan digital merangkumi pusat data, keselamatan siber serta bakat digital.
Ini termasuklah dengan meluaskan kerjasama dalam pasaran halal di pasaran antarabangsa.
Buat pengetahuan umum, Thailand antara rakan dagangan utama bagi Malaysia, menduduki tempat ke-6 terbesar di dunia dan ke-2 terbesar di ASEAN pada 2023, dengan perdagangan dua hala bernilai RM113.16 bilion. Setakat ini kedua negara telah mencapai rekod yang menggalakkan bagi tempoh antara Januari sehingga Oktober tahun ini, dengan nilai perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM95.50 bilion, mengatasi RM94.37 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2023.