Artikel

6 Juta Pengguna TNG eWallet Masih Belum Sahkan Akaun Menerusi eKYC

Ternyata berlandaskan rekod lebih 28 juta pengguna, didapati 22 juta akaun pengguna Touch ‘n Go eWallet kini telahpun mengesahkan identiti akaun mereka menerusi langkah eKYC (Kenali Pelanggan Anda, Know Your Customer). Ini bermakna terdapat 6 juta pengguna masih belum berbuat demikian.

Berikutan status ini, TNG eWallet kini menggesa semua pengguna untuk menyelesaikan langkah pengesahan eKYC tersebut. Jelas TNG bermula 20 Disember ini, pengguna baharu yang ingin mendaftar akaun TNG eWallet akan dikehendaki mengesahkan akaun mereka dengan menerusi eKYC. Sementara pengguna sedia ada yang masih gagal melengkapkan peraturan tersebut akan berdepan had akses kemasukan akaun secara berperingkat kelak.

Dengan melengkapkan proses eKYC, ia berpotensi meningkatkan perlindungan sekuriti ke atas pengguna dalam mengurangkan risiko penipuan serta tindakan kebenaran dalam mengakses akaun TNG eWallet mereka.

Lebih menarik dengan eKYC juga ia memperluaskan kelayakan pengguna, membuka akses kepada ciri dan produk tambahan. Ini termasuklah saiz dompet digital yang lebih besar dapat disediakan. Pendekatan proaktif ini secara menyeluruh bukan sahaja melindungi pengguna tetapi turut menyumbang kepada landskap kewangan digital yang lebih selamat dan berdaya tahan.

Tidak hanya itu, keperluan eKYC ini juga dilihat bertepatan selari dengan keperluan pengawalseliaan di bawah garis panduan Bank Negara Malaysia melibatkan Anti Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT).

Maka untuk mengelakkan dari sebarang kesulitan aplikasi, semua pihak diminta menyemak dan melengkapkan proses pengesahan eKYC tersebut. Untuk rujukan lanjut boleh disemak pada aplikasi atau merujuk panduan pengesahan pada saluran laman TNG.