Langkawi Ferry Line Ventures kini membatalkan tindakan menaikkan kadar tambang perkhidmatan feri, yang seharusnya dilaksanakan pada Januari 2025 kelak. Langkah itu tidak sekadar membantu mengurangkan kos pengguna bahkan turut menjamin kelayakan pengusaha feri pada manfaat subsidi diesel.
Buat pengetahuan umum, bermula 1 Januari 2025 pengusaha feri di pulau-pulau utama di Malaysia dimaklumkan akan menerima bantuan subsidi diesel untuk melandaikan tekanan kos perkhidmatan mereka. Kelulusan ini baru sahaja dicapai pada minggu lalu oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) dari Kementerian Kewangan (MOF).
Ini bermakna, mana-mana pengusaha feri yang bertindak melaraskan naik tambang perkhidmatan berpotensi tidak layak menerima manfaat subsidi diesel tersebut.
Maka berdasarkan situasi tersebut, operasi Langkawi Ferry Line telah berbincang bersama MOT dan kerajaan Kedah akan pembatalan kenaikan kadar tambang tersebut. Buat pengetahuan umum, sekiranya pelarasan kadar tambang ini diteruskan, ia memperlihatkan kenaikan antara RM3 hingga RM10.50 ke atas pengguna.