Untuk meningkatkan lagi kuasa penjimatan ke atas pelajar di Malaysia – FLYsiswa, inisiatif baucar digital yang membolehkan pelajar membeli tiket penerbangan domestik kini akan dinaikkan kepada RM400, berbanding RM300 sebelum ini. Pelaksanaan itu akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2025 kelak.
Inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan seramai 60,000 mahasiswa negara yang menggunakan penerbangan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Akses tersebut boleh diraih dengan permohonan bersama syarikat penerbangan terlibat. Antaranya melibatkan Malaysia Airlines, MASwings, FireFly, AirAsia, Batik Air dan MYAirline melalui laman sesawang operasi mereka. Namun perlu diingatkan, penggunaan subsidi tbaucar ini hanya boleh diguna untuk pembelian tiket penerbangan sekiranya alamat tetap pelajar adalah destinasi penerbangan tersebut.
Di mana perolehan baucar digital ini akan dijadikan sebagai credit shell kepada para pelajar untuk pembelian tiket penerbangan. Ini bermakna sekiranya harga tiket penerbangan yang dibeli adalah bawah RM400 maka baki selebihnya akan kekal dalam credit shell dan boleh digunakan pada pembelian tiket pelajar seterusnya.
Perluasan had subsidi ini secara menyeluruh jelas memberi kelebihan kepada pelajar, tidak sekadar beri penjimatan yang tinggi tetapi meningkatkan aliran tunai pelajar bagi perbelanjaan pulang ke kampung halaman ketika musim cuti semester mahupun perayaan.