Artikel

KWSP Lancar Panduan Belanjawanku 2024/2025, RIA – Perkenal 3 Tahap Simpanan Pencen

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melancarkan Panduan Belanjawanku 2024/2025 dan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) – bagi memberi gambaran jelas kepada rakyat negara akan kos perbelanjaan mereka mengikut gaya hidup dan persaraan kelak.

Jelas KWSP, RIA akan dilaksanakan bermula Januari 2026 kelak – di mana rangka kerja ini akan menyediakan panduan yang jelas berhubung perbelanjaan bulanan serta mengemaskini tahap simpanan kepada tiga tahap berlandaskan Pendapatan Persaraan Mencukupi untuk menyokong pengeluaran bulanan selama 20 tahun.

Iaitu tahap 1 – Simpanan dan Pendapatan Asas, tahap 2 – Simpanan dan Pendapatan Mencukupi serta tahap 3 – Simpanan dan Pendapatan Dipertingkat.

Tahap 1 – Simpanan Asas akan melibatkan 60% daripada jumlah Simpanan Mencukupi iaitu RM390,000. Simpanan ini membolehkan pengeluaran bulanan bagi tahun pertama sekitar RM1,625 dan tahun ke-20 sekitar RM4,434.

Tahap 2 – Simpanan Mencukupi pula akan ditetapkan pada 240 kali ganda Pendapatan Persaraan Mencukupi dan akan dibundarkan kepada RM10,000 terdekat dengan jumlah RM650,000. Simpanan ini membolehkan pesara keluarkan RM2,708 secara bulanan pada tahun pertama dan RM7,389 pada tahun 20.

Tahap 3 – Simpanan Dipertingkat menetapkan 200% daripada jumlah Simpanan Mencukupi, ini bersamaan RM1.3 juta. Simpanan ini pula membolehkan pesara keluarkan RM5,417 secara bulanan bagi tahun pertama dan RM14,779 menjelang tahun ke 20.

Tahap simpanan RIA ini turut dimaklumkan akan disemak setiap tiga tahun bermula pada 2029 menggunakan data terkini daripada hasil kajian Belanjawanku agar terus relevan dengan peningkatan kos. Sasaran simpanan ini akan didasari berlandaskan aspek gaya hidup para pengguna dan keperluan ketika di usia persaraan kelak.

Secara menyeluruh panduan belanjawanku ini telahpun dibangunkan sejak 2019 lagi namun kini perolehan data telah diperluaskan melibatkan 11 bandar utama di Malaysia dan memaparkan tahap kos sara hidup semasa.