Seiring dengan peningkatan kapasiti penumpang pada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA T1) yang ketika ini berupaya menampung 30 juta penumpang setahun – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kelak bercadang meluaskan kapasiti tersebut. Antaranya dengan pertimbangkan pembangunan landasan ke-4 dan Terminal 3.
Adanya pertimbangan itu, ini akan meningkatkan keupayaan KLIA T1 dan KLIA T2 yang ketika ini mampu menampung 75 juta penumpang setahun secara menyeluruh – akan meningkat kepada 140 juta penumpang setahun menerusi ketersediaan terminal baharu.
Tidak sekadar perancangan itu, MAHB turut bercadang membina Private Premium Terminal (PPT) yang akan berperanan selaku terminal khas berbayar buat penumpang yang ingin mendapatkan perkhidmatan bertaraf premium di lapangan terbang.
Jelas MAHB, terminal itu akan dilengkapi dengan kemudahan daftar masuk imigresen dan kastam serta boleh menempatkan seramai 100 orang pengguna dalam satu-satu masa. Difahamkan pelan tersebut masih di fasa perancangan dan dijangka bermula pada 2025.
Selanjutnya terdapat juga perancangan untuk membina Terminal Haji dan Umrah dengan kapasiti 5 juta penumpang setahun yang khusus bagi penumpang yang akan mengerjakan haji dan umrah.
Dengan pembinaan terminal ini, pemeriksaan imigresen oleh Kerajaan Arab Saudi akan dilaksanakan di KLIA (pre-clearance) seterusnya akan menjimatkan masa penumpang menunggu di mana-mana lapangan terbang termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah, Arab Saudi.