Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini menyeru untuk pihak berkepentingan meneliti sebaik mungkin akan sebarang peningkatan melibatkan harga insurans perubatan di pasaran kelak. Di mana sebarang kenaikan premium insurans perlulah diteliti dengan wajar dan tidak membebankan rakyat negara.
Kenyataan ini dimaklumkan PM Anwar ketika sesi soal-jawab yang dilaksanakan pada Parlimen hari ini.
Jelasnya Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini masih dalam rundingan bagi menentukan kawalan berhubung kenaikan premium insurans perubatan tersebut. Tindakan itu secara langsung turut akan menghindari berlakunya peningkatan inflasi.
Buat pengetahuan umum, kesan kenaikan kos perubatan meliputi harga ubat-ubatan, peralatan perubatan serta kenaikan gaji telah membawa kepada pelarasan kadar premium insurans perubatan ini. Malah PM Anwar melihat isu monopoli berhubung pembelian ubatan ini harus diteliti semula bagi mengawal kembali kenaikan harga ubat di pasaran.
Berlandaskan komitmen itu, kerajaan memaklumkan akan membatalkan beberapa komitmen melibatkan pembelian ubatan bersama syarikat. Maka untuk mengimbangi tindakan itu, KKM kini dicadangkan untuk berhubung dengan negara tertentu bagi mendapatkan ubat generik pada harga yang lebih berpatutan.
Langkah itu sekaligus akan membantu negara, mengimbangi tekanan kos pada sektor kesihatan.