Artikel

Penjaja Tanpa Lesen Di Bahu Jalan, Kaki Lima – Akan Dipindahkan Menerusi Program Lestari Niaga

Penjaja di pasaran Malaysia memainkan peranan yang penting dalam penawaran makanan dan minuman pada harga mampu-milik buat pengguna warga kota – namun perlu diakui operasinya dikebanyakan bahu jalan dan kaki lima secara tidak langsung telah mencetuskan ketidakselesaan dan isu keselamatan dalam kalangan pengguna negara.

Perkara ini telahpun merekodkan pelbagai aduan daripada komuniti tempatan terutamanya ke atas kumpulan penjaja tanpa lesen di pasaran negara.

Maka untuk meningkatkan penguatkuasaan tersebut, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan akan laksana penyusunan semula lokasi buat kumpulan penjaja ini di bawah Program Lestari Niaga.

Usaha ini bertujuan untuk menyusun semula penjaja dari lokasi yang tidak sesuai kepada tapak gerai yang lebih formal dan teratur. Malah ia turut membantu kumpulan penjaja meraih lesen yang sah untuk melanjutkan operasi mereka. Untuk makluman tindakan ini turut meliputi kumpulan penjaja yang telahpun miliki lesen yang sah – ini kerana masih terdapat sebilangan peniaga kumpulan ini beroperasi di lokasi yang kurang sesuai.

Pendekatan ini diperjelaskan bukan bertujuan menghapuskan aktiviti penjaja tetapi mahu memastikan kumpulan penjaja dapat berniaga dalam persekitaran yang lebih selamat serta bersih selaras dengan aspirasi negara – untuk menjadikan KL sebagai bandar mesra peniaga kecil.