Ketegangan yang berlaku di Syria secara langsung telah menambahkan lagi tekanan pada ketidaktentuan politik di Timur Tengah. Situasi itu tanpa sedar telah memberi impak kepada pasaran semasa, antaranya berlaku lonjakan harga minyak mentah.
Mengikut laporan Reuters, harga minyak mentah hari ini naik dengan niaga hadapan Brent naik 22 sen (0.3%) kepada $71.34 setong, diikuti minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) juga naik 22 sen kepada $67.42.
Meskipun konflik itu menambahkan lagi bebanan pasaran semasa, namun tindakan pengurangan harga yang dilaksanakan Arab Saudi diikuti OPEC+ yang ingin melanjutkan pengurangan pengeluaran di pasaran disasar akan melemahkan lagi prestasi perdagangan semasa sehingga akhir 2024 ini.
Apa Konflik Yang Berlaku Di Syria?
Sejak 2011, Syria telahpun berdepan isu perang saudara melibatkan ketegangan antara kumpulan pemberontak dan kerajaan semasa. Akan tetapi, kesan serangan terbaharu kalangan pembangkang telah menyebabkan kerajaan kehilangan kawalan ke atas beberapa bandar penting di Syria – ia melibatkan bandar seperti Hama, Aleppo, Idlib, Homs dan Damsyik.
Peralihan penguasan kawasan utama itu secara langsung memberi kesan kepada pimpinan di bawah Presiden Bashar al-Assad. Faktor lain yang turut mendorong kepada kelemahan tersebut adalah kelemahan Syria bersama sekutunya iaitu Rusia dan Iran. Di mana kedua negara turut berdepan konflik lain seperti Iran-Israel dan Rusia-Ukraine, yang menyebabkan fokus kekuatan Syria tergugat.
Dan terbaharu, Presiden Bashar al-Assad kini telah ditumbangkan dan telahpun meninggalkan Syria. Maka Rusia kini dalam tempoh rundingan bersama pihak pembangkang di Syria dan dalam usaha menyokong proses politik yang infklusif sebagaimana tertakluk di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).