Tahukah anda ketika ini terdapat 3.7 juta pengguna BNPL – Bayar Nanti Pakai Lekas yang direkodkan di pasaran Malaysia? Daripada jumlah tersebut terdapat 2.9 juta adalah pengguna aktif. Jumlah itu sekaligus menunjukkan tahap keyakinan pengguna ke atas penggunaan kredit tersebut semakin meningkat dan berupaya mengatasi penggunaan kredit tradisional seperti kad kredit.
Data di bawah Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) ini menjelaskan, rekod tersebut kebanyakannya di wakili oleh kumpulan pengguna berusia 21 tahun sehingga 45 tahun – merangkumi 44% adalah kalangan 21 tahun hingga 30 tahun dan 47% pula kalangan 31 tahun sehingga 45 tahun. Di mana faktor perubahan tabiat membeli-belah secara atas talian dan sokongan nirtunai (tanpa tunai) telah meningkatkan lagi penggunaan BNPL kalangan pengguna Malaysia.
Dalam tempoh 12 bulan, didapati lebih 700,000 peniaga telah menerapkan akses BNPL sebagai pilihan pembayaran operasi kepada pengguna. Mengikut tinjauan sektor makanan dan restauran, peruncitan serta pengangkutan menjadi antara sektor yang memaparkan penerapan akses BNPL tinggi ke atas pengguna.
Tidak hanya itu, kebanyakkan perniagaan fizikal juga kini tersedia pada pasaran atas talian – yang sekaligus turut merancakkan lagi penggunaan pembayaran BNPL di pasaran negara. Perluasan itu, secara langsung membawa kepada penguasaan Shopee, Grab dan Atome pada pasaran BNPL di Malaysia.
Ketika ini, 3 jenama tersebut telah menguasai lebih 90% daripada urus niaga BNPL di pasaran Malaysia. Ia tidak sekadar penawaran BNPL pada aplikasi mereka bahkan turut meliputi tindakan perkongsian saluran pembayaran pada medium e-dagang yang lain.
Laporan juga mendapati kebanyakkan pengguna BNPL secara puratanya menggunakan kurang daripada 40% had kredit mereka – data ini tidak termasuk dengan kumpulan yang memiliki had kredit bawah RM500.
Biarpun data memperlihatkan penggunaan BNPL terus rancak, perlu diakui akses ini turut meningkatkan kadar hutang buat rakyat Malaysia. Setakat akhir suku pertama 2024, didapati jumlah baki tertunggak libatkan kredit BNPL ialah RM1.42 bilion. Ia memaparkan 34% lebih tinggi berbanding tunggakan pada akhir 2023 iaitu RM1.06 bilion.
